VICTORIA, Australia – Pelumba MotoGP Yamaha Movistar, Valentino Rossi menganggap kemenangan rakan sepasukannya, Maverick Vinales, Ahad lalu tidak memberi perubahan besar kepada pasukannya.
Vinales yang menunggang jentera Yamaha M1 berhasil menamatkan kemarau gelaran dalam 25 perlumbaan dengan merangkul kejuaraan pada Grand Prix (GP) Australia yang berlangsung di Litar Phillip Island.
Bagaimanapun, Rossi merasakan kemenangan tersebut bukanlah petunjuk positif untuk membuktikan prestasi mereka kembali ke tahap optimum serta mampu mengatasi pesaing terbesar, Honda serta Ducati pada musim depan.
“Kemenangan Vinales merupakan suatu pencapaian yang baik bukan sahaja untuk dirinya, malah buat seluruh pasukan kerana akhirnya kami dapat tamatkan kemarau gelaran.
“Namun, kami tak boleh berpuas hati dan perlu pastikan peningkatan ini konsisten. Sudah tentu ia merupakan penyuntik semangat terbesar buat kami,” katanya.
Biarpun tidak menghasilkan keputusan memberangsangkan, Rossi yang mengakhiri perlumbaan di kedudukan keenam masih menyanjungi kemenangan Vinales.
“Secara umumnya, jentera kami tidak banyak perbezaan, namun ia memberikan impak berbeza kerana corak tunggangan kami berbeza.
“Vinales mampu membuat pecutan lebih baik, selain dia tidak melakukan banyak kesilapan mudah,” katanya. – Agensi










