WTO bimbang perang tarif - Utusan Malaysia

WTO bimbang perang tarif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Perang perdagangan yang semakin sengit mengundang ‘risiko sebenar’ terhadap ekonomi global, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Roberto Azevedo dalam ucapannya di London kelmarin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terlibat dalam kancah perang perdaga­ngan dengan China. Beliau me­laksanakan tarif bernilai berbi­lion-bilion dolar bagi menangani defisit perdagangan dengan Beijing dan membendung amalan perdagangan yang merugikan Washington.

Trump juga menyasarkan Kesatuan Eropah (EU), manakala Azevedo memberitahu pemim­pin-pemimpin perniagaan dalam ucapannya di Mansion House bahawa perang perdagangan AS-China itu tidak menampakkan tanda akan reda, lantaran, beliau merayu kepada pemimpin-pe­mimpin dunia supaya kembali ke meja rundingan.

“Ketegangan yang kian me­mun­cak dan berterusan ini mencetuskan risiko sebenar,” kata Azevedo dalam amarannya.

Amaran tersebut seiring de­ngan kenyataan pakar-pakar ekonomi bahawa kegagalan dalam kerjasama perdagangan antarabangsa akan menyaksikan lonjakan tarif yang akan me­leburkan 17 peratus pertumbuhan perdagangan global dan 1.9 peratus pertumbuhan ekonomi dunia.

“Ini akan mengakibatkan pe­kerja, firma dan komuniti terjejas,” kata Azevedo.

“Berjuta-juta pekerja akan hilang pekerjaan dan perlu mencari pekerjaan baharu. Firma-firma pula terpaksa mencari produk dan pasaran baharu,” tambahnya.

Menjawab dakwaan bahawa amalan perdagangan berat se­belah tidak mendapat hukuman setimpal di bawah sistem sedia ada, Azevedo berkata, penyelesaian politik mengenainya perlu dicapai dan beliau mahu pe­mimpin-pemimpin dunia ber­usaha ke arah itu pada sidang kemuncak G20 di Argentina, bulan depan.

Trump sehingga kini menguatkuasakan tarif bernilai AS$250 bilion (RM1.03 trilion) terhadap barangan China yang diimport AS dan mengancam untuk bertindak lebih drastik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN