SEPANG – Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) menganjurkan Bengkel Seni Kreatif (Penulisan Skrip) selama dua hari di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA selama dua hari bermula hari ini.
Bengkel yang mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu diterajui oleh penulis skrip prolifik Siti Jasmina yang berkongsi ilmu dan tips penulisan berkesan untuk drama dan filem.
Selain itu, penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam dan pelakon Yana Samsudin turut dijemput sebagai panel kepada 28 orang peserta yang menghadiri bengkel ini.
Menurut Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin bengkel ini diadakan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang penulisan skrip agar wartawan mampu memberi ulasan dan kritikan yang lebih baik bagi sesebuah karya.
“Sememangnya wartawan mempunyai pengalaman menulis, tetapi menerusi bengkel ini wartawan akan mendapat lebih pengetahuan untuk membuat ulasan filem atau drama bagi akhbar, majalah atau portal masing-masing,” kata Tengku Khalidah.
Dalam pada itu kata Tengku Khalidah, secara tidak langsung ilmu penulisan skrip ini juga boleh dijadikan sumber pendapatan.
“Wartawan berjumpa dengan ramai orang dan berada dalam pelbagai situasi. Sudah tentu mereka mempunyai banyak idea yang menarik untuk dijadikan skrip.
“Jika dilakukan secara serius tidak mustahil penulisan skrip boleh dijadikan pendapatan sampingan atau tetap buat wartawan,” ujar Tengku Khalidah.
Sementara itu, penerbit Skop Productions Sdn. Bhd. Datuk Yusof Haslam berkata pihaknya mengalu-alukan skrip daripada pihak luar terutamanya wartawan.
“Sebenarnya wartawan boleh menulis skrip kerana mereka mempunyai kebolehan menulis cuma perlu ilmu dan juga bakat.
“Seseorang yang boleh menulis skrip yang baik sehingga membuatkan sebuah filem pecah panggung merupakam satu anugerah,” kata Yusof. – K! ONLINE











