LIPIS – Seorang wanita warga emas terbunuh manakala menantu perempuannya cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Lipis-Merapoh di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.50 pagi itu, penumpang kereta jenis Nissan Almera, Khatijah Awang, 53, disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah beberapa bahagian badan.
Sementara itu, menantunya, Haszlan Hashim, 34, mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Mengulas berhubung kejadian itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kenderaan dinaiki mangsa terlebih dahulu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang tersadai di tepi jalan kerana mengalami kerosakan.
“Kedua-dua mangsa dikatakan dari Besut, Terengganu dan dalam perjalanan ke Raub. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta dikatakan tidak menyedari dan merempuh lori membawa muatan kayu berkenaan yang rosak di bahu jalan,” katanya kepada pemberita di sini.
Azry menambah, pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – K! ONLINE










