CYBERJAYA – Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari ketika melintas jalan di hadapan bangunan kedai di Shaftbury Cyberjaya di sini semalam.
Kejadian menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 7.34 malam itu menyebabkan mangsa Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan seorang Penolong Pengurus sebuah syarikat mengalami kecederaan parah dan dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya pada pukul 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihak polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan lima buah kenderaan dengan seorang mangsa wanita.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Hyundai dipandu lelaki tidak dikenali telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton yang diparkir di sebelah kanan hadapan bangunan kedai tersebut.
“Selepas itu, pemandu kereta berkenaan telah menghala ke kiri dan melanggar tiga buah kenderaan lain yang diparkir di sebelah kiri jalan. Semasa mangsa sedang melintas jalan, dia telah dilanggar oleh kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, mangsa yang mengalami kencederaan parah telah dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi tadi.
“Pemandu kenderaan tersebut bagaimanapun terus melarikan diri.
“Polis kini sedang giat mengesan pemilik dan pemandu kenderaan jenis Hyundai dengan nombor pendaftaran BHS 7999 tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.
Dalam pada itu, video kemalangan melibatkan wanita tersebut turut tular di media sosial Facebook dan rata-rata netizen menyelar tindakan pemandu kenderaan yang memandu secara melulu sebelum merempuh mangsa yang sedang melintas jalan. – K! ONLINE










