ALOR SETAR 4 Okt. – Seorang wanita maut manakala empat yang lain cedera parah termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Batu 9, Jalan Sungai Petani – Kuala Ketil, Sungai Petani, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa, Nurul Husna Md. Amin, 29, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Empat mangsa yang cedera parah akibat kecederaan dalaman ialah Nur Amalina Md. Amin, 30, serta tiga beradik iaitu Mohd. Amzar Haziq Hazrul, 8; Nor Damia Insirah, 6, dan Nor Damia Khalisa, 3.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Perodua Viva yang bekerja sebagai kelindan terlelap.
“Itu menyebabkan kereta yang dipandunya memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Kuala Ketil ke arah JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Sungai Petani.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori berusia 54 tahun tidak mengalami kecederaan manakala pemandu kereta tersebut hanya mengalami luka pada bahagian kepala, lengan kanan, kaki kanan dan kiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Adzli, penumpang hadapan kereta tersebut maut di tempat kejadian manakala empat penumpang belakang mengalami kecederaan parah dan kini sedang mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati cuaca baik ketika kejadian dan terdapat kesan brek atau tayar di laluan Kuala Ketil ke Sungai Petani sepanjang 15.10 meter.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










