SEREMBAN 2 Okt. – Seorang wanita ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian leher di ruang tamu rumahnya di Taman Seremban Jaya, Fasa 10, di sini petang tadi.
Mangsa, K. Gunawathy, 39, yang bekerja sebagai pembuat kek secara sambilan di rumah ditemukan dalam keadaan tertiarap berhampiran tangga oleh anaknya pada pukul 1.30 petang.
Kakak kandung mangsa, K.Chandran Vathani, 43, berkata, sebelum kejadian kelihatan seorang lelaki India yang memberhentikan motosikal jenis Honda Wave telah masuk ke rumah mangsa berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah jiran.
“Saya difahamkan berlaku pergelutan di dalam rumah sebelum lelaki itu mengelar leher adik saya menggunakan pisau sehingga mati.
“Lelaki terbabit turut mengambil seunit telefon bimbit dan sebuah beg dipercayai mengandungi wang tunai RM500,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, abang kandung mangsa, K. Deva, 42, memberitahu, ketika kejadian suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di sebuah kilang di Senawang, manakala tiga anak lelaki mereka yang berusia 14, 13 dan 9 tahun berada di sekolah.
“Sebelum kejadian, isteri saya bersama Chandran dan mangsa bersarapan di sebuah restoran di bandar Seremban.
“Pada ketika itu, Chandran ada memberi wang tunai RM500 kepada mangsa dan dia memasukkan wang tersebut ke dalam beg yang dilarikan penjenayah,” katanya.
Tambahnya, pihak polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa mayat Gunawathy ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










