Wakil rakyat 
perlu bersopan - Utusan Malaysia

Wakil rakyat 
perlu bersopan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
Tular apabila seorang wakil rakyat Melayu DAP menengking sekumpulan orang kampung berhubung tindakan penutupan jalan pintas di sebuah kawasan perumahan.

Di akhir rakaman video pula dapat disaksikan beberapa orang Cina dipercayai pemilik kediaman di taman perumahan itu bertepuk tangan dengan kuat.

Walaupun YB (Yang Berhormat) yang juga Exco kerajaan negeri itu memberi penjelasan tentang situasi tersebut tetapi terlajak perahu boleh diundur, terlajak kasar berbahasa buruk padahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa lagi imejnya tercalar kerana dilihat membesar-besarkan kuasa yang dimilikinya selain rekod dia sebelum ini dalam isu setor dan baja bersubsidi yang juga tular beberapa bulan lalu.

Wakil rakyat dengan rakyat itu umpama peniaga dengan pelanggan. Dia kena guna ayat manis. Kalau pembeli salah pun, sebagai penjual perlu ada cara untuk menegakkan haknya sebagai penjual tanpa menjejaskan bisnesnya kemudian hari.

Seorang YB yang bagus perlu ada kekuatan spiritual, kesabaran tinggi, kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan menguasai pengucapan memujuk yang boleh meredakan ketegangan. Tegurlah orang dengan cara berhemah.

Sebaliknya, ADUN Pangkalan Batu berkenaan dianggap ramai warga maya yang menonton rakaman video itu sebagai ‘berkepala batu’ kerana langsung tidak tahu untuk berdiplomasi dalam mendengar suara penduduk kampung.

Bahkan, dari segi psikologi komunikasi pun, apabila seseorang yang berkuasa berhujah dalam keadaan meninggi suara serentak menonjolkan dia lebih berkuasa menggambarkan dia tiada fakta lain yang lebih kukuh untuk lawan berhujah lantaran diselubungi perkara lain yang cuba disembunyikan.

Sama seperti seorang ustaz. Walaupun ceramahnya betul tentang dosa, pahala, syurga dan neraka tetapi kalau menjerit-jerit dan maki-hamun dengan ‘menerakakan’ orang lain, siapa yang selesa.

Seorang YB yang cerdik politik juga mesti cerdik komunikasi. Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) contohnya, ada pernah kita lihat Dr. Nasir atau Arul melenting atau memaki-hamun kapitalis atau blok BN-PH?

Dulu sebab apa Pas mampu menarik ramai sokongan Melayu profesional dan aktivis bahkan masyarakat bukan Islam? Sebab perwatakan arwah Nik Aziz.

Pernahkah bekas Mursyidul Am Pas itu menegaskan bahawa dirinya itu siapa? Pernahkan bekas Menteri Besar Kelantan itu berhujah marah-marah dengan orang sekularis dan liberalis dan bercakap “saya tidak mahu cakap dengan orang tak ngaji kitab”?

Jadi, suka atau tidak walaupun YB berbaju sendat itu ada 100 alasan pun, masih lagi orang memandang budi bahasa.

ARIF ATAN,

Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini