VjQyZkBj
Oleh ZULQURNAIN OTHMAN
ALOR SETAR 10 Okt. – Kempen Minggu Menabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) peringkat negeri di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mencapai kutipan simpanan melebihi sasaran yang ditetapkan.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, kempen yang dilancarkan Sabtu lalu bagi peringkat nasional itu berjaya mengutip simpanan pendeposit berjumlah kira-kira RM98,000.
“Untuk Alor Setar, kita sasarkan sebanyak 80 akaun baharu dan simpanan sebanyak RM80,000 bagaimanapun kutipan meningkat sehingga RM98,000.
“Pencapaian ini menunjukkan perkembangan yang membanggakan apabila jumlah tersebut dicapai tidak sampai separuh hari program berlangsung dan kita harap jumlah simpanan pendeposit akan terus meningkat,” katanya selepas merasmikan kempen tersebut di Alor Setar Mall di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar PTPTN Kedah, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Wan Saiful berkata, setakat Ogos tahun ini, terdapat kira-kira 310,000 akaun SSPN sudah dibuka dengan nilai simpanan pendeposit mencecah RM160 juta dicatatkan di Kedah.
“Banyak insentif kita berikan kepada pendeposit seperti geran sepadan yang mana jika ibu bapa mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun menyimpan sebanyak RM500, kita akan tambah lagi RM500 dalam masa bulan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut mengadakan cabutan bertuah yang diadakan secara bulanan, sukuan dan tahunan bagi menarik orang ramai menyimpan melalui skim tersebut.
“Banyak manfaat yang kita sediakan kepada golongan ibu bapa yang menyimpan menerusi SSPN-i Plus termasuk hadiah bernilai lebih RM2 juta selain daripada potongan cukai sehingga RM6,000,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Muhsin berkata, kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan menabung serta perancangan kewangan untuk masa hadapan anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi perlu ditingkatkan.
Justeru, katanya, pihaknya komited melaksanakan program Menabung SSPN 2018 agar objektifnya dapat dicapai semua pihak.
“Fungsi PTPTN bukan sekadar memberi pinjaman semata-mata malah turut menjadi institusi yang menyediakan skim penabungan yang terbaik.
“Menerusi skim ini, orang ramai berpeluang menabung serendah RM30 sebulan bersamaan RM1 sehari dan ini dapat memupuk budaya menabung yang lama-kelamaan akan menjadi tabiat,” katanya.











