PASIR PUTEH 13 Okt. – Lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar, guru, anggota polis dan komuniti menyertai acara walkaton sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2018 peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, di sini hari ini.
Dalam program santai bermula sejak 8 pagi itu, para peserta berjalan beramai-ramai mengelilingi Kampung Semerak di samping menyertai acara senamrobik.
Guru Besar sekolah itu, Faxrurazi Nasir berkata, sambutan tersebut adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk mempromosi HSN 2018 sekali gus meningkatkan kualiti kesihatan rakyat menerusi aktiviti sukan dan riadah.
Ujar beliau, komitmen padu diberikan semua peserta yang sanggup berkumpul awal pagi secara tidak langsung menepati tema sambutan kali ini iaitu ‘Kebersamaan Demi Kecemerlangan Sukan Negara’.
“Pihak sekolah ingin berterima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan negeri kerana turut menyalurkan sumbangan bagi menjayakan program seumpama ini,” katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini hari ini.
Faxrurazi dalam pada itu berkata, selain mempomosi gaya hidup sihat, program itu juga dilihat berjaya merapatkan hubungan warga SMK Cherang dengan komuniti setempat. – UTUSAN ONLINE











