KUALA LUMPUR 2 Okt. – Seorang setiausaha di sebuah koperasi usahawan didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah berhubung pelaburan emas berjumlah lebih RM100,000 daripada bapa saudaranya, empat tahun lalu.
Nur Nazuhaili Harun, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azrul Darus atas perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah unit di City Garden Palm Villa Condominium, Jalan Cempaka 6, Taman Cempaka dekat sini, 14 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, Nur Nazuhaili didakwa menerima deposit berjumlah RM117,000 daripada Mohd. Yusoff Ayob, 66, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Mangsa, Mohd. Yusoff merupakan pesara di syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Wanita yang sudah berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50,000,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Azrul membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Ampang Jaya sebulan sekali dan menetapkan 12 November ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Difahamkan, wang deposit yang diberi mangsa kepada anak saudaranya itu merupakan pelaburan emas yang dijalankan oleh koperasi usahawan anak muda di Shah Alam yang berkolaborasi dengan dua buah syarikat swasta yang lain. – UTUSAN ONLINE











