CYBERJAYA 4 Okt.- Ibu kepada remaja yang dipercayai lemas, Mohd. Ilham Fahmy Mohd. Azzam, 17, di Taman Putra Perdana, Puchong memaklumkan anaknya mula meminati hobi memancing sejak bulan lalu.
Menurut Che Rosmilatawi Saidin, 45, dia tidak mengetahui sama ada anaknya pergi memancing di lokasi tersebut atau sebaliknya pada petang semalam.
“Dia cuma memaklumkan pergi lepak dengan tiga kawannya tetapi dia tidak cakap pula lokasi lepak.
“Kebiasaannya pada waktu petang, dia selalu main bola tetapi sejak sebulan lalu, dia mula minat memancing pula,” katanya ketika ditemui lokasi pencarian dan menyelamat di Taman Putra Perdana di sini hari ini.
Pada masa sama, ibu saudara mangsa, Nor Ziana Saidin, 39, memaklumkan, pihak keluarganya berharap Mohd. Ilham Fahmy dapat ditemukan dengan selamat.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga pihaknya reda dan pasrah dengan sebarang ketentuan Ilahi.
Semalam, enam anggota bomba mati lemas dalam operasi mencari dan menyelamat remaja itu yang dipercayai lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.00 malam itu, kesemua anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor itu dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.
Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – UTUSAN ONLINE











