KUALA LUMPUR 15 Okt. – Polis sedang menunggu laporan lengkap patologi Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan selepas proses bedah siasat kali kedua selesai dijalankan semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, keputusan tersebut dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
“Proses bedah siasat kali kedua telah selesai dan jenazah telah dikebumikan semula hari ini.
“Buat masa ini, saya tidak boleh memberi tempoh bilakah akan laporan lengkap akan diterima tetapi ia akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Nazrin selesai dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Van jenazah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tiba di tanah perkuburan terbabit kira-kira pukul 11.35 pagi dengan diiringi sebuah kereta dan dua motosikal pengiring polis.
Turut kelihatan, sebuah kereta yang dipercayai ahli keluarga Nazrin memasuki perkarangan tanah perkuburan tersebut.
Pada 14 Jun lepas, Nazrin ditemukan meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini.
Siasatan ke atas kes ini menyaksikan beberapa individu telah direman dan dibebaskan, termasuk isteri Nazrin dan bekas suaminya; dua anak tiri allahyarham serta adik perempuan isterinya dan suami. – UTUSAN ONLINE










