SHAH ALAM 15 Okt. – Seorang Pengawal keselamatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita yang sedang berpantang tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Azmirul Shamsuddin, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd. Azmirul yang memakai baju berjalur kotak dan berseluar jeans kelihatan tenang dalam kandang tertuduh ketika hukuman terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Azmirul didakwa menyebabkan kematian Rabiatul Adawiah Abd Aziz, 23, yang juga rakan serumahnya, di sebuah apartmen di Sungai Way, Petaling Jaya, kira-kira pukul 8.22 malam pada 4 Mac 2015.
Media sebelum ini melaporkan wanita itu yang baru sahaja dua bulan melahirkan anak dijumpai mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta mulut disumbat, bersebelahan dengan bayi perempuannya di rumah berkenaan yang juga merupakan hostel pekerja.
Berdasarkan keterangan pakar patologi sebelum ini, bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati wanita itu meninggal dunia kerana lemas (suffocation). – UTUSAN ONLINE










