[VIDEO] Parkour asah kecekapan fizikal dan mental individu - Utusan Malaysia

[VIDEO] Parkour asah kecekapan fizikal dan mental individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Biarpun sukan ini belum mendapat sambutan dan kurang dikenali di Malaysia berbanding sukan-sukan lain namun jika di peringkat antarabangsa, sukan parkour adalah sesuatu yang sangat luar biasa.

Ini kerana bukan calang-calang orang dapat beraksi dalam sukan parkour ini kerana latihannya sememangnya memakan masa berbulan-bulan sebelum dapat menghasilkan pergerakan yang cukup baik.

Ujar Marcus Lim, 27, yang merupakan pengasas dan Presiden Persatuan Parkour dan Larian Bebas negeri Selangor, individu yang menceburi sukan ini adalah komuniti yang seronok bermain dengan risiko.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun demikian, segala aktiviti dilakukan mengikut tertib dan melalui persatuan ini, kami dapat mengajar bakat-bakat baharu untuk bermain sukan parkour dengan cara yang betul.

“Ini kerana sebelum ini memang sudah ada komuniti parkour yang bergerak sendiri namun tanpa pendidikan serta teknik yang salah, ia boleh mengakibatkan kecederaan yang sangat serius,” katanya ketika ditemui Utusan Online di KL Sport City, Bukit Jalil sempena Hari Sukan Negara 2018.

Mengulas lanjut tentang sukan itu, Marcus memberitahu jumlah ahli parkour yang berdaftar di seluruh Malaysia hampir mencecah 3,000 orang dan pada Disember nanti, satu perjumpaan secara besar-besaran akan diadakan di Putrajaya.

Tambah Marcus lagi, sukan parkour adalah satu senaman yang sangat unik kerana ia bukan sahaja menggalakkan individu bersenam menggunakan fizikal secara semula jadi malah mampu mengembalikan semula kestabilan tubuh badan.

Dalam pada itu, pengasas kumpulan remaja Killaz Parkour, Muhammad Zame Areff Omar, 20, berkata, dia dan ahli kumpulannya beranggapan sukan parkour mampu menajamkan penglihatan mata serta otak.

“Kita bermain di landasan yang serba mencabar. Ada yang perlu melompat, memanjat, berguling serta berlari. Jadi mata dan otak perlu cekap dan bekerjasama setiap masa.

“Bohong kalau kami tidak pernah cedera dalam melakukan aksi sukan parkour ini namun kejadian itu bukanlah antara faktor yang boleh melemahkan semangat motivasi kami malah ia menjadikan kami lebih berhati-hati dan bersikap professional,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini