ARAU 19 Okt. – Misteri penemuan mayat tiga sekeluarga yang dipercayai mati lemas di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat di sini semalam memasuki episod baharu, apabila seorang lagi mangsa yang dikatakan hilang bersama mereka sebelum itu ditemui dalam keadaan selamat di Sungai Petani, Kedah.
Video MEDIA SOSIAL
Perkara itu disahkan oleh bomba negeri ini dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.
“Maklumat terbaru yang diterima, operasi mencari seorang lagi mangsa yang hilang telah dijumpai di Sungai Petani dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan lelaki itu ditahan polis di Taman Ria Sungai Petani bagi membantu siasatan.
Situasi berkenaan ternyata menimbulkan persoalan selepas lelaki tersebut, Mohd. Zali Baharom,37, pada masa kejadian itu dikatakan bersama keluarganya sebelum mereka dipercayai tergelincir semasa melalui tebing sebatang tali air di kawasan Belat Batu pada Selasa.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.
Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35,
ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.
Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin,64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.
Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad,66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat.
Berikutan itu, pasukan penyelamat mempergiatkan usaha mencari Mohd. Zali yang dikatakan bersama keluarganya itu berdasarkan kepada penemuan kad pengenalan kesemua empat individu itu di lokasi mayat pertama ditemukan.
Malah, seorang saksi yang juga saudara mangsa ketika memberi keterangan kepada polis memaklumkan bahawa dia ternampak kesemua mereka sedang berjalan kaki di jalan Kampung Bakong kira-kira pukul 6 petang pada Selasa lalu.- UTUSAN ONLINE










