KUALA LUMPUR 15 Okt. – Tiada komen. Itu reaksi kebanyakan ahli-ahli Parlimen yang diketahui merokok apabila diajukan persoalan mengenai arahan larangan merokok di dalam bangunan Parlimen yang berkuat kuasa hari ini.
Alasan yang diberikan ialah, sebarang komen yang diberikan mengenai larangan itu hanya akan menimbulkan pertindihan kepetingan.
Malah, ada juga yang memberitahu akan berjumpa sendiri dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk menyampaikan pandangan terhadap larangan yang diumumkan beliau pagi tadi itu.
“Biar orang lain seperti pertubuhan bukan kerajaan sahajalah yang mengulas, saya rasa itu lebih sesuai,” kata seorang Ahli Parlimen dari Selangor yang enggan dikenali ketika diminta Utusan Online mengulas mengenai larangan merokok di dalam Bangunan Parlimen tersebut.
Larangan berkenaan diumumkan oleh Dr. Dzulkefly pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bulan Oktober 2018 kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, susulan itu, pihaknya turut akan menutup sudut merokok di bangunan Parlimen dan perokok hanya dibenarkan merokok di luar bangunan.
Bagaimanapun, bagi Ahli Parlimen yang tidak merokok pula, larangan berkenaan merupakan satu perkara yang dialu-alukan.
Ahli Lenggong Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau setuju dengan larangan tersebut kerana baik untuk kesihatan semua pihak.
“Larangan ini bukan untuk membebankan perokok tetapi bagi menjaga kesihatan mereka, memang elok ia dikuatkuasakan,” katanya.
Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli pula berkata, pelaksanaan larangan tersebut telah diperjuangkan sejak lebih 10 tahun dahulu.
Menurut beliau, larangan berkenaan merupakan satu keadilan untuk semua dan wajar diterima semua pihak.
“Larangan ini juga pernah dibincangkan di dalam sidang Dewan Rakyat, pelaksanaannya pada hari ini menunjukkan kerajaan hari ini serius menjaga kebajikan semua pihak, katanya.- UTUSAN ONLINE










