[VIDEO] Lapan lelaki belasah tiga lelaki di kedai makan dicekup Polis - Utusan Malaysia

[VIDEO] Lapan lelaki belasah tiga lelaki di kedai makan dicekup Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH – Polis menahan lapan lelaki yang disyaki membelasah tiga lelaki sehingga mengalami kecederaan berikutan masalah hutang di sebuah kedai makan di Jalan Raja Uda, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lapan lelaki berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan kelmarin dan semalam dalam beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang.

“Polis percaya dengan penahanan lapan lelaki itu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan kami dapat menyelesaikan kes tersebut,” katanya di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata semua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, tiga lelaki berkenaan pergi ke kedai berkenaan untuk berbincang dengan seorang daripada lelaki daripada kumpulan terbabit yang berhutang dengan mangsa.

Ketika perbincangan itu telah berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bersama beberapa rakan yang lain terus menyerang mangsa dan dua rakannya menggunakan kerusi dan parang.

Tiga lelaki berusia 20 hingga 28 tahun itu mengalami beberapa kecederaan di bawah lutut kanan serta lengan kiri akibat ditetak serta patah kaki kanan dan patah pergelangan tangan kiri serta lebam dan luka di kepala serta tangan.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata polis menahan empat lelaki yang sedang berpesta dadah di sebuah rumah di Pangsapuri Ampang Jajar, di sini semalam dan merampas sejumlah heroin serta syabu bernilai RM600.

Katanya semasa serbuan pukul 2 petang itu, empat lelaki yang berusia 18 hingga 37 tahun  berkenaan  dalam keadaan khayal dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Seorang daripada empat lelaki itu adalah pemilik rumah berkenaan dan dia dipercayai membekalkan dadah kepada penagih-penagih dadah yang datang menghisap dadah di kediamannya,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini