KUALA LUMPUR 2 Okt. – Gurauan mengundang padah. Itu terpaksa dilalui seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas terperangkap dalam mesin basuh selama 20 minit di dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini hari ini.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu berlaku apabila kanak-kanak tersebut dimasukkan ke dalam mesin basuh oleh bapa saudaranya yang berusia lingkungan 20-an ketika datang membasuh pakaian di kedai dobi berkenaan bersama ibu mangsa.
Bagaimanapun, gurauan lelaki itu mengundang padah apabila pintu mesin basuh berkenaan tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak itu terperangkap di dalamnya.
Sebuah video berdurasi dua minit 46 saat berhubung kejadian tersebut turut tular dalam media sosial serta menunjukkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak itu.
Mereka bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan selepas usaha membuka pintu mesin itu tidak berhasil.
Pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan berkata, berdasarkan maklumat diterima, kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya sebelum pintu mesin terkunci dan tidak dapat dibuka.
“Kemudian, beberapa pekerja restoran yang terletak bersebelahan kedai dobi saya cuba membantu untuk membuka pintu mesin basuh itu namun tidak berjaya.
“Mereka bertindak memecahkan kaca mesin itu untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan. Kejadian ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM3,000 malah nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai turut mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut dari ibu mangsa yang merupakan suri rumah berusia 25 tahun.
Katanya, bagaimanapun, kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).











