[VIDEO] Hantar 350 tan barang keperluan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Hantar 350 tan barang keperluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PAPAN, INDONESIA 4 Okt. – Sebanyak 350 tan bara­ngan keperluan dijangka akan diterbangkan dari Jakarta ke Balik Papan sebelum dibawa ke Palu dalam misi bantuan kemanusiaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan menggunakan pesawat A400M yang bermula hari ini.


Video oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

Pegawai Memerintah 22 Skuadron, Leftenan Kolonel Baharin Mohamad berkata, antara barangan yang akan dibawa dalam tempoh tersebut terma­suklah lori tangki, makanan dan jentera seberat 22 tan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, setakat ini kerajaan Indonesia hanya membenarkan pesawat A400M mendarat dan menghantar barangan di Balik Papan sebelum dibawa menggunakan dua pesawat C-130 milik TUDM yang berpangkalan di Kuching, Sarawak.

“Tugas pesawat A400M ha­nya sebagai penghantar antara Jakarta dan Balik Papan. Kita belum lagi diberi kebenaran untuk mendarat di Palu kerana kerajaan Indonesia kurang ya­kin dengan saiz pesawat ini yang agak besar walaupun rancangan asal adalah ke sana (Palu). Tambahan pula, landasan rosak susulan gempa bumi tempoh hari.

“Jika diizinkan, kita akan ke sana (Palu). Selain pesawat C-130, TUDM juga akan terbangkan dua helikopter EC725 dari Labuan ke Tawau, Sabah sete­rusnya ke Balik Papan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Palu, Sulawesi, di sini hari ini.

Seramai 23 anggota TUDM termasuk tiga petugas media terlibat dalam misi tersebut yang dijangka mengambil masa selama lima hingga sepuluh hari.

Semua urusan penghantaran tersebut akan dibantu oleh Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU).

Dalam pada itu, Baharin berkata, pesawat A400M TUDM akan melakukan tiga kali penerbangan secara ulang-alik antara Jakarta dan Balik Papan sepanjang misi tersebut bergantung kepada keadaan.

“Bagi misi pertama, kami membawa kira-kira 13 tan bara­ngan keperluan makanan dan dua lori tangki minyak. Jumlah tersebut kemungkinan bertambah bergantung kepada keper­luan dan penugasan kami,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini