KUALA LUMPUR 13 Okt. – Kualiti tinggi pelajar yang dilahirkan Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) menjadikan mereka pilihan utama majikan sebaik tamat melakukan latihan industri.
Naib Canselor KLMUC, Prof. Madya Sharina Puteh berkata, 60 peratus pelajar institusi tersebut ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja menamatkan latihan industri di sesebuah syarikat.
“Alhamdullilah selama ini, kajian kami setiap kali mereka tamat belajar lebih 60 peratus terus mendapat pekerjaan.
“Ini terutama dalam bidang hospitaliti dan kesenian kulinari. Pelajar ini terus sambung bekerja selepas tamat latihan industri,” kata Shrina yang ditemui selepas menyampaikan diploma, ijazah dan sarjana kepada 1,330 graduan pada Majlis Konvokesyen ke-10 KLMUC, hari ini.
KLMUC yang pada awalnya ditubuhkan pada 1991 sebagai Institut Teknologi Maklumat Cosmopoint sebelum dinaik taraf kepada kolej universiti menyediakan 47 kursus di dua kampus yang terletak di Jalan Raja Laut di ibu negara dan di Kelana Jaya, Selangor.
Menurut Sharina, institusi pengajian tinggi yang dimiliki oleh Ekuiti Nasional Berhad tersebut mempunyai falsafah untuk melahirkan pelajar yang mampu berdikari dengan pendidikan berkualiti pada harga yang berpatutan.
“Sebab ramai pelajar kami adalah dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Jadi kami harap akan membantu mereka mendapat pendidikan berkualiti.
“Kami akan bersama-sama membantu pelajar bagi mencapai cita-cita, impian mereka sebagai usahawan. Itu yang kami mahu galakan. Kita mahu mereka mencipta peluang pekerjaan dan bukan sebagai pencari pekerjaan,” kata Sharina.
Pada majlis itu tiga pelajar menerima Anugerah Naib Canselor iaitu Mohd. Fauzan Muhammad Rapitar yang memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Mohamad Azmeer Sal Gufti (Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan) dan Nur Maahirah Abdul Raheem (Diploma Pengurusan Perniagaan). – UTUSAN ONLINE











