KUALA LUMPUR 6 Okt. – Jangan lupa solat dan selalu berdoa antara kata-kata yang sempat dipesan Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari sebelum meninggal dunia.
Menurut anaknya, Tan Sri Musa Hassan, Allahyarham bapanya selalu berpesan perkara itu kepada anak-anaknya.
“Solat dan doa antara yang selalu beliau pesan dan Allahyarham juga sempat memberitahu supaya sentiasa mendoakan bila beliau sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Persiaran Keramat Hujung, di sini hari ini.
Allahyarham Hassan yang terkenal sebagai pengajar rancangan Muqaddam sekitar awal 1970-an meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser limfoma tahap empat, petang tadi.
Antara yang hadir melawat Allahyarham di kediamannya ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – UTUSAN ONLINE











