PORT DICKSON 30 Sept. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hanya pengundi di Port Dickson yang boleh menentukan nasib beliau sama ada dapat menjadi ahli Parlimen atau sebaliknya.
Jelas Anwar, banyak pihak cuba menghalangnya ke Parlimen, namun beliau hanya akan menerima keputusan yang ditentukan oleh pengundi di Port Dickson pada 13 Oktober nanti.
“Saya nak jadi Ahli Parlimen Port Dickson pun berkali-kali ada yang mahu failkan di mahkamah nak halang Anwar. Tak payahlah, biar orang Port Dickson tentukan mereka nak atau tidak.
“Bukan dua tiga orang korporat, golongan elit cerdik pandai, peguam, tetapi biar rakyat yang tentukan. Kalau takdir saya menang alhamdulillah, kalau tidak pun saya kena reda,” katanya sewaktu berucap dalam Ceramah Perdana di Medan Selera Bagan Pinang di sini malam tadi.
Jelas Anwar lagi, sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya kecil (PRK) ini, beliau akan sentiasa mengutamakan prinsip menjaga kepentingan rakyat dalam setiap projek pembangunan di kawasan tersebut.
“Saya jumpa seorang pengusaha besar di Singapura yang mahu membina hotel lima bintang di Port Dickson. Saya kata baiklah tetapi saya berikan syarat dan minta Menteri Besar Negeri Sembilan menyediakan tanah dan mempercepatkan kelulusan untuk buat rumah bagi orang yang berpendapatan rendah, itu syarat saya.
“Bidang perniagaan dan industri juga akan dikembangkan, tetapi kita kena jaga juga pusat-pusat perniagaan kecil dan warung-warung yang banyak di sini supaya bersih. Itu yang saya akan usahakan, insya-Allah,” katanya.
Tambah Anwar lagi, beliau dalam masa terdekat ini akan mengumumkan sebuah program khas pendidikan meliputi murid tahun satu hingga tingkatan lima yang akan memberikan manfaat besar kepada penduduk di sini.
Sebelum meninggalkan majlis ceramah itu yang diadakan di kawasan kubu kuat UMNO, Anwar sempat mengetuai sorakan dan laungan semangat yang sekian lama tidak dilihat dilakukan oleh beliau.
Sorakan ‘Reformasi’, Lawan tetap lawan’ dan ‘Lawan sampai menang’ oleh Anwar bergema yang kemudiannya disahut kira-kira 500 hadirin.
“Sakit tekak saya,” kata Anwar selepas itu secara spontan yang disambut gelak ketawa para penyokongnya.










