PORT DICKSON 7 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau dihalau ketika kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson bersama komuniti India di sini.
Anwar ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah di Masjid Kariah Kampung Sawah selepas solat maghrib menafikan dakwaan itu.
“Itu tidak betul (dakwaan dihalau). Mereka bertengkar sesama komuniti mereka Tiada kena mengena dengan saya.
“Mereka marah sesama mereka. Ada yang kata mahu saya masuk dalam (kuil), saya tidak mahu masuk dalam. Saya berada di luar,” katanya.
Satu rakaman video yang didakwa insiden Anwar dihalau dari sebuah kuil Hindu dekat sini tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 51 saat viral itu didakwa berlaku semasa Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berkempen di kawasan Dewan Undang Negeri (DUN) Chuah, petang tadi.
Dalam rakaman video itu, dua lelaki berketurunan India dilihat bertengkar dan berkata sesuatu kepada Anwar di hadapan sebuah kuil Hindu, manakala calon PH berkenaan kelihatan memujuk mereka. – UTUSAN ONLINE











