KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kebajikan penulis dan sasterawan tempatan yang bagai tidak dipedulikan perlu diberi perhatian serta bantuan oleh pihak kerajaan.
Menurut pemuisi terkenal, Pyan Habib, karyawan seperti dirinya menghadapi masalah untuk mencari pendapatan dan terpaksa berusaha sendiri untuk menjual hasil karya yang dibuat tanpa bantuan yang sepatutnya oleh kerajaan.
Justeru, beliau mengharapkan ada sinar baharu bagi anak seni seperti dirinya dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang Ahli Parlimen.
Beliau menyatakan harapan agar Anwar dapat menghidupkan kembali usaha-usaha untuk menjaga kebajikan penulis dan sasterawan tempatan seperti mana yang telah dilakukan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu sewaktu beliau bergelar menteri.
“Sebagai seorang penulis saya meminta Anwar tidak hanya berpolitik semata-mata. Beri juga perhatian kepada penulis seperti saya.
“Dia perlu teruskan usaha yang pernah dilakukan untuk membantu golongan sasterawan sewaktu menjadi menteri dahulu,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di Bangunan Parlimen pagi tadi.
Pyan mendakwa, ketika ini nasib sasterawan tempatan seperti seolah-olah kurang dipedulikan oleh kerajaan.
Penulis itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapannya terhadap Anwar selepas beliau kembali ke Parlimen.
Menurut beliau, keadaan ini diyakini dapat diperbaiki oleh Anwar kerana Presiden PKR itu memahami keperitan yang dilalui mereka.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada pukul 10 pagi tadi selepas beliau muncul sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang berlangsung pada Sabtu lepas. – UTUSAN ONLINE










