PUTRAJAYA 18 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan peguamnya agar beliau dibenarkan diikat jamin daripada ditahan semalaman di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Vidoe oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Perkara itu dimaklumkan oleh isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis ketika ditanya wartawan sama ada suaminya akan ditahan hari ini.
“Peguam hendak bagi dia (Ahmad Zahid) keluar, tetapi dia tak nak.
“Jadi dia akan di sini sampai esok pagi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Ahmad Zahid akan ditahan hari ini, Hamidah mengesahkan suaminya akan ditahan.
“Saya ok la, dahulu 10 hari masa Datuk Seri menjadi Ketua Pemuda UMNO (pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri).
“Insya Allah, jangan risau, cuma doa untu beliau,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid tampil untuk kali keenam SPRM, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 3petang dengan menaiki kenderaannya jenis Lexus berwarna putih.
Menurut sumber, beliau semalam menerima notis SPRM untuk hadir pada hari ini bagi merakam keterangannya yang dipercayai berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya, Yayasan Akal Budi.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan, tidak menolak kemungkinan Ahmad Zahid akan ditahan hari ini sebelum dibawa ke mahkamah esok untuk pendakwaan.
Pada minggu lalu, Ahmad Zahid telah dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.
Selain Ahmad Zahid, turut dipanggil memberikan keterangan membabitkan kes itu ialah anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah dan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi @ Hamidi. – UTUSAN ONLINE










