PUTRAJAYA 19 Okt. – Kenderaan yang membawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 7.35 pagi.
Kenderaan Toyota Alphard bewarna hitam membawa Ahmad Zahid itu yang diiringi beberapa kenderaan pengiring SPRM dan polis menuju ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Semalam, beliau ditahan SPRM berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.-UTUSAN ONLINE










