KUALA LUMPUR 9 Okt. – Sebanyak 16 daripada 23 transaksi tanah seluas 53.98 ekar milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya dimuktamadkan menerusi proses rundingan semula dengan pemaju.
Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK
Keputusan rundingan itu telah meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM149 juta berbanding perjanjian terdahulu di mana syarikat pemaju telah membeli tanah dengan harga yang rendah.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, rundingan itu juga memperoleh sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM6 juta.
“Pemaju bagi 16 tanah itu bersetuju untuk melakukan transaksi mengikut harga tanah semasa. Rundingan ini juga telah berjaya mendapat serahan balik sebanyak empat lot tanah seluas 12.46 ekar dengan nilai RM113.8 juta.
“Bagaimanapun, tiga lagi transaksi memerlukan penilaian semula harga tanah mengikut harga semasa, dua transaksi melibatkan perbincangan bersama peguam dan satu transaksi tidak mahu meneruskan rundingan,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan rundingan 23 tanah lot DBKL di Menara DBKL, di sini hari ini.
16 transaksi itu melibatkan dua transaksi tanah di Kepong, Batu (3), Setiawangsa (2), Titiwangsa (2), Segambut (1), Bukit Bintang (3), Bandar Tun Razak (1), Cheras (1) dan Seputeh (1).
Terdahulu, sebanyak 97 tanah di bawah DBKL dikaji semula dengan 43 daripadanya diteruskan tanpa rundingan dan pemeriksaan.
Dalam pada itu, Khalid berkata, 16 tanah yang dimukatamadkan itu buat masa ini tidak akan melalui proses tender terbuka, namun akan dikaji untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA).
“Kesemua tanah yang melibatkan 53.98 ekar itu tidak akan dirunding untuk tender terbuka, kita akan kaji balik untuk pembinaan PPR dan PPA.
“Dengan hasil yang diperoleh itu boleh dijadikan subsidi untuk projek pembinaan perumahan itu nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










