KETIKA memberi ceramah dalam sesi Bersama Penulis di satu daerah di Selangor beberapa hari sebelum bulan Ramadan yang lalu, penulis membawa bersama berpuluh-puluh keratan akhbar yang memuatkan rencana penulis dalam akhbar Utusan Malaysia. Lengkap dengan fotobyline bersama rencana-rencana berkenaan.
Antara yang hadir beberapa orang guru bersama para pelajar mereka. Dalam sesi ceramah tersebut rencana-rencana penulis itu dipertontonkan kepada hadirin tetapi rata-ratanya menyatakan yang mereka tidak pernah melihat muka penulis sebelum ini.
Awal-awal lagi penulis dapat simpulkan di sini bahawa golongan penulis tidak seperti artis, ahli sukan dan tokoh-tokoh politik yang lebih cepat dikenali umum. Selebihnya, penulis mengandaikan bahawa semangat membaca dalam kalangan masyarakat semakin kurang waima guru sekalipun. Oleh itu tidak hairanlah nasib dan masa depan bahan-bahan bacaan di negara kita agak terumbang-ambing ditambah dengan ketaksuban masyarakat dengan media sosial.
Pembaca akhbar sekarang lebih tertumpu kepada golongan veteran. Jarang sekali kita bertemu dengan anak-anak muda yang membeli akhbar untuk dibaca sambil minum di restoran atau menunggu bas. Sebaliknya anak-anak muda ini lebih gemar menatap telefon pintar yang sukar untuk dipastikan sama ada mereka membaca atau tidak. Jika membaca sekali pun, masih boleh dipertikaikan apa bahan yang dibaca. Adakah daripada akhbar dalam talian atau daripada WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun Facebook.
Yang pasti, pusat penjualan akhbar juga semakin berkurangan. Kedai-kedai yang masih bertahan menjual akhbar kelihatan lesu kerana tidak banyak naskhah yang diambil oleh mereka untuk dijual kepada orang ramai. Maka sampai ke petang, masih ada akhbar di premis-premis mereka kerana tidak habis dijual.
Hakikatnya juga, tiada penjual yang berani mengambil 50 naskhah setiap hari. Kalau dahulu, belum pukul 10 pagi sudah boleh tutup kedai, namun sekarang pukul 10 malam pun surat khabar masih ada. Di kampung-kampung suatu masa dahulu, ada yang menjaja akhbar dari rumah ke rumah dengan motosikal membawa berpuluh-puluh akhbar daripada pelbagai syarikat akhbar tetapi sekarang tiada lagi.
Agak menyedihkan kerana ada pula pihak yang memboikot sesetengah akhbar. Malah ada sesetengah kerajaan negeri tidak membenarkan akhbar-akhbar tertentu dilanggan oleh jabatan-jabatan kerajaan dan institusi pendidikan milik kerajaan.
Tindakan itu adalah satu langkah yang amat merugikan kerana terdapat bahan-bahan dalam akhbar berkenaan boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar untuk menyiapkan tesis serta tugasan. Bahkan boleh dijadikan rujukan oleh guru-guru khususnya subjek Bahasa Melayu bagi latihan penulisan karangan di sekolah.
Seperkara lagi ruangan Forum Utusan yang disediakan khusus untuk pembaca memberikan pandangan, input dan aduan boleh disifatkan sebagai suara rakyat. Justeru penerbitan akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia perlu disokong demi kesinambungan suara rakyat. Apa-apa pun, semangat membaca perlu dicambahkan jika mahu melihat zaman kegemilangan akhbar kembali semula.










