Undang-undang TOL perlu mesra rakyat - Utusan Malaysia

Undang-undang TOL perlu mesra rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanah TOL (temporary occupation licence) atau lesen pendudukan sementara (LPS) telah sekian lama disalah anggap oleh banyak pihak sebagai “tanah beri milik” (alienated land) atau dalam bahasa mudah sebagai tanah milik penghuni tanah itu sendiri.

Hakikatnya, setiap tanah TOL tetap kekal sebagai tanah kerajaan walaupun seorang pemegang TOL itu bernasib baik dilanjutkan pegangannya selama beberapa tahun. Dari segi undang-undang, setiap TOL akan tamat pada 31 Disember setiap tahun tetapi boleh dilanjutkan tempohnya hingga akhir tahun berikutnya.

Di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN), tidak ada had berapa kali TOL boleh dilanjutkan tempohnya. Berbeza dengan tanah beri milik (di mana suatu suratan hak milik telah pun dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negara kepada pemohon yang berjaya), satu tanah TOL itu tidak boleh dipindah milik, digadai atau dipajak kepada pihak lain. Ia juga tidak boleh diwarisi oleh anak cucu pemegang TOL berkenaan. Apabila pemegang TOL meninggal dunia, tempoh TOL itu tamat dan Pejabat Tanah tidak ada kewajipan memberi TOL atas tanah itu kepada mana-mana ahli keluarga atau warisnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada banyak kes di mana pemegang TOL itu yang memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk mendapatkan hak milik pada tanah yang telah diduduki dan diusahakannya selama beberapa tahun, yakin permohonannya akan berjaya. Malangnya dalam beberapa kes yang sampai ke mahkamah, permohonan pemegang TOL itu ditolak manakala tanah berkenaan diberi milik kepada pihak (pemohon) lain. Apabila perkara seperti ini berlaku, tanah yang dulunya berstatus TOL kini sudah menjadi tanah beri milik yang dianugerahkan oleh PBN kepada pemiliknya yang baharu. Ini bermakna pemegang TOL lama itu kini menjadi setinggan.

Di bawah KTN, seorang setinggan itu tidak punyai hak di sisi undang-undang atau ekuiti (squatters have no rights in law or equity). Pada 26 September lalu, media melaporkan kesediaan Kerajaan Negeri Perak meluluskan pemberian hak milik tanah 99 tahun untuk lebih 3,000 pemegang LPS di negeri itu. Di bawah KTN, tindakan ini dipanggil “pemberian milik tanah” (land alienation). Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berharap ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri itu dapat memberi manfaat kepada rakyat Perak kerana ada yang menduduki tanah TOL berkenaan sehingga 50 tahun.

Pemberian milik tanah kerajaan bagi tempoh 99 tahun itu melibatkan lot tanah dalam daerah bersempadan pantai di kawasan Kerian, Larut Matang, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk termasuk kampung-kampung baharu.

Sehubungan itu, bekas Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Datuk Abu Zar Omar, menggesa kerajaan negeri memberi hak milik tanah 99 tahun secara sama rata kepada peneroka tanah rancangan Felda, kampung tersusun dan kampung baharu juga.

Tidak semua pemegang TOL bernasib baik seperti 3,000 rakyat Perak. Contohnya, pada satu masa dulu ada sebidang tanah telah sekian lama diduduki oleh rakyat miskin keturunan India. Lokasinya adalah di Kampung Buah Pala di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, tidak jauh dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Piang sekarang.

Walaupun tanah berkenaan diduduki oleh nenek moyang mereka lebih 100 tahun lalu, mereka bukan pemiliknya yang sah. Pada 2005, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan untuk tidak lagi mengutip sebarang bayaran untuk TOL mereka. Tindakan kerajaan negeri ini adalah satu petanda buruk bahawa tanah TOL yang mereka duduki selama ini akan diberi milik oleh PBN kepada pihak lain yang memohon tanah tersebut, iaitu Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Kelulusan pemberian milik dibuat oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon tetapi pembayaran premium bagi tanah disempurnakan dalam zaman pemerintahan di bawah pimpinan Ketua Menteri yang baharu, Lim Guan Eng. Pada 27 Mac 2008, suratan hakmilik HS(D) 15868 PT Daerah Timur Laut dikeluarkan kepada pemilik baru tanah tersebut.

Saya tidak mempertikai kuasa serta budi bicara mana-mana kerajaan negeri atau PBN memberi hakmilik tanah kepada sesiapa sahaja yang mereka suka. Namun dalam kes Kampung Buah Pala ini, kenapa perlu diberi milik kesemua 6.5 ekar tanah itu kepada koperasi itu? Kenapa tidak diberi sebahagiannya sahaja manakala selebihnya diberi kepada penduduk asal di kampung itu?

Pada 5 Februari 2007, koperasi itu mengeluarkan notis pengusiran kepada penduduk kampung itu yang kini sudah berstatus setinggan. Kes ini kemudian diheret ke mahkamah di mana akhirnya pada Julai 2009 Mahkamah Persekutuan memutuskannya bagi pihak pemilik tanah manakala penduduk asal kampung itu diperintahkan mengosongkan tanah itu dalam tempoh satu bulan tanpa apa-apa pampasan.

Sesungguhnya undang-undang TOL yang ada sekarang tidak mesra rakyat kecuali pemegang TOL itu bernasib baik menerima pemberian milik tanah 99 tahun seperti 3,000 rakyat Perak minggu lalu.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan 
di Jabatan Peguam Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini