KUALA LUMPUR 17 Okt. – UMNO Perak ingin menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO walaupun berada dalam keadaan senang ataupun susah.
Pengerusinya Badan Perhubungannya, Datuk Saarani Mohamad berkata, UMNO Perak mendoakan semoga Ahmad Zahid akan menghadapi semua dugaan ini dengan tabah.
Katanya, pihaknya yakin Ahmad Zahid berada di pihak yang benar dan akan mendapat pertolongan Allah.
“Ahli-ahli UMNO Perak akan terus mengadakan majlis bacaan surah Yasin dan solat hajat memohon pertolongan daripada Allah. Semoga presiden diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran dan dugaan ini.
“Semoga Allah memberikan hidayahnya kepada orang-orang terlibat mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas beliau, sehingga beliau akan dibebaskan. Insya-Allah!,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Ahmad Zahid yang akan dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.
Difahamkan Ahmad Zahid diarahkan hadir ke SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi. – UTUSAN ONLINE










