KUANTAN 18 Okt. – Badan Perhubungan UMNO negeri menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang dikehendaki melaporkan diri ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, bagi urusan pendakwaan di mahkamah esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO Pahang akan terus setia dan berdiri teguh bersama Ahmad Zahid dalam menempuh keadaan mencabar ketika ini.
“Kami juga berdoa kepada Allah S.W.T supaya Ahmad Zahid dikurniakan kesabaran dan ketabahan tinggi dalam melalui saat-saat yang menggetirkan ini.
“Saya menyarankan semua ahli dan penyokong UMNO supaya terus berdoa dan solat hajat memohon pertolongan Allah S.W.T demi memudahkan urusan kepemimpinan tertinggi kita,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










