PULAU PINANG 18 Okt. – UMNO negeri ini menyatakan sokongan penuh dan berdiri teguh di belakang Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berkemungkinan didakwa esok.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, UMNO negeri ini menghormati perundangan negara dan melahirkan keyakinan tinggi proses itu tidak dicabuli mana-mana pihak.
Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan berhubung persepsi rakyat yang melihat proses perundangan terhadap pemimpin UMNO yang sedang berjalan ketika ini lebih bermotifkan serangan politik.
“Kita berharap Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO lain termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiasat dan mendapat perbicaraan yang adil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bukit Mertajam berharap ahli-ahli UMNO di negeri ini tidak goyah atau lemah disebabkan tindakan undang-undang berterusan terhadap pemimpin mereka.
Tambahnya, ahli-ahli UMNO di negeri ini perlu melihat tekanan yang dikenakan terhadap pemimpin parti itu sebagai petunjuk untuk mereka bangkit dengan lebih berani dan bersatu dalam mempertahankan kelangsungan parti. – UTUSAN ONLINE










