KUALA LUMPUR – Ahli UMNO diminta untuk bertenang serta menghormati sistem perundangan negara meskipun Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 45 pertuduhan yang bermotifkan politik.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli UMNO perlu bertenang dan percaya dengan kewibaaaan institusi awam yang menjalankan proses perundangan.
“Kita biar proses perundangan ini berjalan dengan lancar serta berdoa supaya beliau (Ahmad Zahid) mendapat perbicaraan yang adil dan telus.
“Saya harap supaya mereka menjalankan tugas dengan cara profesional dan tanpa prejudis serta tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau menzahirkan rasa simpati terhadap presiden parti.
“Tetapi sebagai ahli parti UMNO kita adalah sebuah parti yang sentiasa dan mempercayai institusi awam.
“Jadi, usaha untuk merencatkan UMNO dengan menekan individu tertentu tidak akan mematahkan semangat kita kerana kekuatan parti adalah di peringkat ahli-ahli yang ramai di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kedudukan Ahmad Zahid sebagai presiden parti beliau berkata, mesyuarat tertinggi akan diadakan dalam masa terdekat.
“Saya akan mengadakan mesyuarat pengurusan terlebih dahulu.
“Kita akan berbincang peringkat pengurusan serta akan memutuskan apa juga yang perlu kita putuskan kelak,” jelasnya. – K! ONLINE










