KUALA LUMPUR 17 Okt. – UEM Sunrise akan melancarkan beberapa lagi projek pembangunan baharunya dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM690 juta untuk tempoh sehingga enam bulan akan datang.
Pengarah Sentral 2 UEM Sunrise, Liong Kok Kit berkata, antara projek yang akan dilancarkan termasuklah di Serene Heights, Bangi dan Gerbang Nusajaya, Johor dengan kesemua projek berkenaan menawarkan sebanyak 690 buah unit kediaman.
“Kami tidak akan berhenti di sini, kumpulan menjangkakan lebih banyak projek akan dilancarkan pada separuh kedua 2019 sehingga 2020.
“Tahun hadapan akan menjadi tahun yang menarik bagi UEM Sunrise,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Residensi Astrea Mont Kiara di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong.
UEM Sunrise hari ini melancarkan projek terbaharunya, Residensi Astrea Mont Kiara yang menawarkan 240 unit kediaman berkeluasan dari 126.8 meter persegi sehingga 172.7 meter persegi dengan harga bermula dari RM1.2 juta.
Projek kondominium berkepadatan rendah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM323 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas 0.97 hektar dan dijangka siap pada suku pertama 2023.
“Residensi Astrea Mont Kiara adalah satu lagi contoh kejayaan komitmen kami dalam menawarkan kediaman yang menepati gaya hidup masa kini,” kata Kok Kit.










