UC Bestari bergerak ke arah universiti penuh - Utusan Malaysia

UC Bestari bergerak ke arah universiti penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 15 Okt. – Institusi pendidikan tinggi swasta, Kolej Universiti Bestari (UC Bestari) di Setiu yang makin mengukuhkan kedudukannya dijangka dinaik taraf sebagai kepada sebuah universiti penuh selewat-lewatnya pada awal tahun depan.

Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengelola, Datuk Dr. Tengku Mahmud Tengku Mansor berkata, usaha ke arah mencapai penarafan bagi institusi bersandarkan pembangunan pendidikan berkonsep wakaf itu sedang giat dilakukan dengan memenuhi segenap keperluan yang ditetapkan.

“Kami yakin UC Bestari akan diberi pengiktirafan sebagai sebuah universti penuh memandangkan usaha penambahbaikan dan peningkatan kursus telah diadakan di samping jumlah pelajar meningkat setiap tahun.

“Pada masa ini kami sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pendidikan untuk diberi penarafan tersebut,’’ katanya dalam sidang akhbar sempena pra Konvokesyen Kali Ke- 5 UC Bestari di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UC Bestari yang baharu, Prof Madya Dr. Sakri Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Sulaiman Yaim.

UC Bestari bermula dengan Kolej Teknologi Bestari (KTB) pada tahun 1998 dan kemudian dinaikkan taraf menjadi sebuah institusi pengajian tinggi swasta bertaraf kolej universiti Ogos 2012.

Beliau berkata, selaras dengan perkembangan bidang teknologi, UC Bestari akan menarik keluar kira-kira 20 peratus kursus yang sedia ada untuk dimasukkan dengan kursus yang lebih terkini terutama dalam bidang digital agar graduan memenuhi segenap keperluan dalam pasaran kerja.

Katanya, pada masa ini UC Bestari menawarkan 15 kursus termasuk enam di peringkat ijazah , diploma (enam) dan sijil (tiga) manakala lima lagi kursus akan ditambah pada tahun ini sehingga kepada doktor falsafah (PhD).

Menurut Tengku Mahmud, setiap tahun institusi itu melakukan pengambilan kira-kira 600 pelajar, dengan menampung kira-kira 2,000 pelajar dalam satu masa, dan kesemuanya menginap di asrama yang disediakan.

Tengku Mahmud yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia berkata, anak-anak yatim diberi keutamaan belajar di situ berdasarkan kelayakan yang ditetapkan dan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mengikuti program asasi sebanyak RM10,000 seorang.

Sementara itu, seramai 464 graduan daripada 15 kursus yang ditawarkan akan menerima sijil, diploma dan ijazah masing-masing sempena konvokesyen di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada 27 Oktober ini yang akan disempurnakan oleh Pro Canselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN