Tunggakan gaji pemain Perlis bukan tanggungjawab kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Tunggakan gaji pemain Perlis bukan tanggungjawab kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 13 Okt. – Masalah kewangan yang membelengu Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sehingga menyebabkan gaji para pegawai serta pemain tertunggak bukan tanggungjawab kerajaan negeri sebaliknya melibatkan persatuan itu yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian.

AZLAN MAN
AZLAN MAN 

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau difahamkan, PFA bukan sahaja mempunyai tunggakan gaji dengan pemain malah melibatkan banyak lagi hutang lain yang tidak diselesaikan.

Katanya, beliau sebelum ini sudah berulang kali memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan untuk menyara perbelanjaan persatuan bola sepak itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga mempunyai masalah kekangan kewangan dan adalah mustahil untuk kita menambah tanggungan ini (PFA),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri ini di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan para pegawai dan pemain Perlis masih belum menerima bayaran tunggakan gaji walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengarahkan PFA berbuat demikian dalam tempoh 30 hari bermula 3 September lalu.

Ketua Jurulatih Perlis, Manja Man dilaporkan berkata, FAM memutuskan perkara tersebut dalam satu mesyuarat pada 3 September lalu, namun sehingga kini belum ada sebarang bayaran dibuat kepada kesemua 37 individu berkenaan termasuk 29 pemain.

Sebelum itu, Pemangku Presiden PFA, Mohd Abd Karim Khan Mansor Ahmad Khan turut berharap ihsan kerajaan negeri agar membantu menyelesaikan kemelut gaji pemain terbabit.

Difahamkan satu Kongres Luar Biasa PFA akan diadakan esok bagi menentukan hala tuju dan masa depan persatuan bola sepak negeri itu.

Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya bukan langsung tidak membantu PFA, sebaliknya sudah mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1.3 juta sebelum-sebelum ini bagi membantu mereka.

“Saya cadangkan PFA bertemu Majlis Sukan Negara (MSN), Menteri Belia dan Sukan bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan ini. Mungkin ada dana-dana tertentu yang boleh digunakan bagi membantu PFA,” katanya.- UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini