Tukang besi mahir buat, jual senjata api ditahan bersama pesara tentera - Utusan Malaysia

Tukang besi mahir buat, jual senjata api ditahan bersama pesara tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 17 Okt. – Seorang tukang besi dan kayu yang mahir ditahan polis setelah menjadikan kepakarannya itu untuk membuat dan menjual senjata api buatan sendiri, sejak beberapa tahun lalu.

Sehingga kini, suspek yang berusia 51 tahun dan menetap di Kodiang, Kedah, dipercayai telah menjual sebanyak 20 unit senjata api berkenaan dengan harga kira-kira RM800 selaras.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, kejayaan itu adalah hasil penahanan seorang pesara tentera berusia 46 tahun kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dalam serbuan di Kampung Guar Sanji, Arau dekat sini, pada kelmarin.

Katanya, susulan itu, polis telah menyerbu sebuah rumah di Kodiang dan menahan suspek kedua itu yang membuat dan menjual senjata api berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek pertama telah memiliki senjata api tersebut sejak 2014 untuk memburu haiwan manakala suspek kedua telah menjalankan kegiatannya (membuat senjata api) lebih awal daripada itu (2014).

“Setakat ini kita percaya senjata api ini tidak ‘terlepas’ kepada mana-mana individu untuk kegiatan pengganas. Polis juga sedang mengenal pasti individu yang telah membeli senjata api daripada suspek kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa mengumumkan kejayaan pasukannya itu di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Menurut Noor Mushar, dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas empat batang udi, dua batang besi laras senjata dan selaras senapang angin yang belum siap.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek pertama didapati positif dadah tetapi kedua-duanya tiada rekod jenayah lampau.

Katanya lagi, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Sementara itu, Noor Mushar turut memberitahu, pihaknya memandang serius kegiatan judi dalam talian setelah menahan seramai 32 orang dalam Op Dadu Khas bermula sejak awal tahun sehingga semalam.

“Ini merupakan yang pertama kali kegiatan ini (judi dalam talian) dikesan di Perlis. Dalam operasi sama, kita turut menahan 58 orang kerana terbabit dalam judi ekor haram,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN