WASHINGTON 18 Okt. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan beliau melindungi sekutunya, Arab Saudi dalam kes kehilangan wartawan yang disyaki dibunuh, Jamal Kashoggi dan menjangkakan kebenaran akan didedahkan tidak lama lagi.
Trump membuat kenyataan tersebut selepas media Turki melaporkan Jamal bukan sahaja dibunuh oleh ejen Arab Saudi dalam bangunan konsulat mereka di Istanbul, tetapi turut diseksa dan mayatnya dikerat.
“Tidak sama sekali, saya cuma mahu tahu apa sebenarnya terjadi. Saya tidak melindungi Arab Saudi langsung,” katanya di White House semalam.
Trump juga memaklumkan bahawa beliau akan mendapat ‘laporan penuh’ daripada Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam tempoh terdekat dan membolehkannya untuk menilai keadaan sebenar.
“Kemungkinan kita akan tahu perkara sebenar menjelang hujung minggu ini,” ujarnya. – AFP










