KUALA LUMPUR – Skuad hoki Malaysia memulakan kempen Trofi Juara-Juara Asia 2018 dengan langkah kanan apabila menewaskan Jepun 3-0 dalam perlawanan pembukaan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman pada semalam.
Penyerang kebangsaan, Faizal Saari meletakkan Malaysia di hadapan melalui pukulan sudut penalti pada minit ketiga, sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menggandakan jaringan menerusi sudut penalti lain, menurut Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam laman Facebook.
Faizal menjaringkan gol kedua dalam perlawanan itu pada minit ke-51.
Malaysia sebelum ini tewas kepada Jepun pada penentuan pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta baru-baru ini menerusi penalti.
Bercakap kemudian, ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Roelant Oltmans gembira dengan aksi permulaan yang sempurna itu tetapi beliau juga menyatakan ada ruang peningkatan dalam beberapa aspek untuk pasukan kebangsaan.
“Tiada kelemahan tetapi sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan, seperti yang dinyatakan terutama ketika dalam kawalan.
Paling penting bagi kita ialah untuk memperbaiki diri kita. Jika kita berjaya melakukannya, kita mempunyai peluang baik untuk menamatkan dengan enam mata selepas dua perlawanan,” kata jurulatih kelahiran Belanda itu.
Malaysia akan bertemu tuan rumah Oman pada perlawanan kedua Sabtu ini. – Bernama
Malaysia sebelum ini tewas kepada Jepun pada penentuan pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta baru-baru ini menerusi penalti. – Gambar fail









