LONDON 11 Okt. – Bekas ejen Karim Benzema, Karim Djaziri percaya, Perancis perlu membenarkan penyerang Real Madrid itu mewakili negara lain selepas melihat masa depannya bersama Les Blues semakin kelam.
Benzema diketepikan daripada mewakili Perancis sejak terbabit dengan kes peras ugut pita rakaman seks rakan sepasukan dalam skuad Perancis, Mathieu Valbuena pada 2015.
Penyerang itu tidak terlibat dalam Kejohanan Eropah 2016, malah disisihkan daripada Piala Dunia tahun ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF), Noel Le Graet memberitahu, Benzema tidak mempunyai tempat lagi bersama Les Blues.
“Kontroversi melibatkan Valbuena-Benzema masih menjadi sebutan.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan Karim, dia sentiasa berkelakuan baik bersama pasukan, namun saya fikir masa depannya dengan Les Blues sudah berakhir,” kata Le Graet kepada Ouest-France semalam.
Djaziri mempersoalkan kenyataan Le Graet yang disifatkan tiada rasa bersalah terhadap Benzema.
“Noel, anda sudah pun menutup karier antarabangsa Benzema pada Jun 2018 dan anda sekali lagi melakukannya.
“Apakah permainan anda? Anda tidak rasa bersalah? Tulis kepada FIFA dan benarkan dia mewakili negara lain dan kita lihat prestasinya nanti,” tulis Djaziri dalam Twitter. – AGENSI











