KOTA BHARU 14 Okt. – Lembu jantan bernama ‘Abu’ seberat 940 kilogram menjadi buah hati pengarang jantung seorang peniaga kedai makan yang sanggup menolak tawaran harga RM15,000 pihak yang mahu membelinya untuk ibadah korban Hari Raya Aidil Adha yang lalu.
Mohd Sapian Safii, 49, dari Kampung Bukit Merbau, Selising, Pasir Puteh, berkata, dia sangat menyayangi lembu berusia 3 tahun 2 bulan daripada baka ‘Charolais’ tersebut meskipun terpaksa berhabis wang dan masa.
Mohd Sapian berkata, nilai terkini Abu di pasaran sudah mencecah RM20,000 namun dia tidak berhasrat menjualnya kepada sesiapa setakat ini lebih-lebih lagi mengenangkan Abu lembu pertama lahir di bawah jagaannya.
“Saya mula memelihara lembu pada 2012 sebagai hobi dan tiga tahun kemudian menjadi ‘bidan’ menyambut kelahiran Abu pada suatu pagi Rabu. Istilah yang biasa orang guna ialah ‘anak kandang’ maksudnya bukan anak lembu peliharaan yang dibeli daripada orang lain tapi lahir dalam kandang pemilik sendiri.
“Abu tidak banyak ragam, saya mandikannya dua kali sehari yang mengambil masa dua jam setiap kali untuk membuang segala daki dan kotoran bagi memastikan bulu putihnya bersih,” katanya ketika ditemui dalam pameran ternakan sempena Ekspo Tani dan Hijau 2018 di Padang Perdana di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Sapian berkata, Abu makan 15 kilogram dedak kacang soya setiap hari dan dia membelanjakan hampir RM1,000 setiap bulan untuk bekalan makanan kesemua empat ekor lembu miliknya.
“Lembu pertama saya pelihara adalah ibu Abu sendiri yang dibeli ketika berusia enam bulan pada harga RM4,000, sejak itu ia telah melahirkan tiga ekor anak termasuk Abu.
“Saya membelanjakan RM2,000 bagi membina kandang baharu berasingan untuk Abu yang dipasang lampu sepanjang malam sebagai langkah keselamatan mengelak dicuri orang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











