Wajarkah pesta arak, Oktoberfest diadakan di dalam negara kita Malaysia?
ISLAM menjamin hak orang bukan Muslim untuk minum arak, maka tiada mana-mana Muslim wajar menghalang orang bukan Muslim daripada minum arak kerana agama. Begitu juga dengan pesta arak. Ia adalah hak masyarakat bukan Muslim.
Bagaimanapun, nilai masyarakat Timur dan asas agama mestilah diberi perhatian besar. Negara Malaysia berada di dalam gugusan Kepulauan Melayu. Dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Melayu pula beragama Islam.
Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia, manakala nilai masyarakat Timur pula adalah nilai masyarakat yang tinggi dan halus adabnya.
Jika pesta arak ini diadakan di Jerman, Rusia, Amerika Syarikat dan sebagainya, maka ia tidak wajar dihalang oleh umat Islam. Ini kerana majoriti rakyat negara itu bukan Muslim. Sebaliknya jika diadakan dalam negara yang asasnya ialah Islam dan adab yang mulia, maka ia bertentangan dengan nilai masyarakat.
Ini kerana pesta arak adalah satu usaha promosi yang akhirnya akan menjadikan arak sebagai minuman harian bagi setiap insan tanpa mengira agama.
Sewajarnya kita mempromosi budaya dan pesta yang tidak bertentangan dengan nilai agama dan masyarakat. Contohnya pesta berkenaan makanan, minuman, pakaian, muzik, kesenian, sukan dan sebagainya.
Rokok mempunyai mudarat, namun tiada kes kemalangan kerana mabuk akibat menghisap rokok. Arak juga mempunyai mudarat dan terdapat banyak kes kemalangan biasa dan kemalangan maut akibat mabuk minum arak.
Jika rokok dikawal, maka arak juga mestilah dikawal dengan lebih ketat. Ini kerana mudarat arak sangat besar!!










