Tiada tempat bagi Island Music Festival 2018 - Utusan Malaysia

Tiada tempat bagi Island Music Festival 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 3 Okt. – Kerajaan Pas mula memastikan kegiatan hiburan di negeri ini tidak menyimpang daripada adab ketimuran dan Islam dengan menolak permohonan penganjuran Island Music Festival 2018 di Pulau Redang yang dijadual diadakan mulai 12 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat mingguan Exco hari ini setelah mendapat maklum balas umum yang tidak menyenangkan  terhadap festival dalam suasana berparti ala barat itu.

“Ini termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Redang dan rakyat, khususnya penduduk setempat serta bantahan yang dibuat melalui media sosial,” ujarnya selepas mesyuarat itu di Wisma Darul Iman di sini.

Katanya, festival muzik selama tiga hari di pulau peranginan itu merupakan tradisi sejak tahun 2013 namun dilihat memberi persepsi yang negatif, bertentangan dengan moral dan agama serta jelas tidak menepati Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003.

“Kita memutuskan tidak akan mengeluarkan permit untuk Island Music Festival 2018 dan akan memastikan penguat kuasa hadir agar ia tidak diteruskan,”ujarnya.

Alias memberitahu, berdasarkan rekod sejak 2013, penganjur festival berkenaan yang dikenali sebagai FGS KL tidak pernah memohon sebarang permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan hanya berbuat demikian tahun ini susulan isu itu menjadi viral.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan dua individu kontroversi termasuk seorang artis  yang terlibat dalam memeriahkan penganjuran Soho Festival di Stadium Negeri daripada membuat sebarang persembahan sama ada di atas atau di bawah pentas.

“Kita sudah beri arahan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT bagi memastikan Rosalinda  dan Kak KM Liana Rosli hanya boleh mempromosi produk tetapi tidak dibenarkan membuat persembahan. Rekod sebelum ini tidak memenuhi syarat.

“MBKT akan meletakkan beberapa penguatkuasa jika berlaku pelanggaran syarat, maka kita akan hentikan serta-merta. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada mereka,” katanya, merujuk kebenaran bersyarat kepada program jualan selama tiga hari bermula esok.

Selain itu katanya, apa yang ditunjuk kepada MBKT berlainan dengan apa yang dipaparkan di gegantung yang memaksa pihak berkuasa tempatan itu bertindak menurunkannya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN