CYBERJAYA 3 Okt. – Tiada usaha yang menjurus kepada pembatalan atau pemberhentian mana-mana dasar melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam draf kaedah pembayaran baliknya setakat ini.
Sebaliknya, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, usaha yang difokuskan adalah untuk mencari kaedah terbaik selaras hasrat kerajaan ketika ini iaitu untuk meringankan beban golongan peminjam.
“Apa kita buat adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan kini dalam meringankan beban peminjam. Itu fokus utama. Kita tiada melihat soal dasar,” katanya ketika merasmikan Kempen #BasDidiSSPN di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Durian Digital Animation Studio Sdn . Bhd. (DD Animation), Sinan Ismail.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini berkata, draf kaedah pembayaran balik hasil kajian holistik perbadanan itu bagi membantu peminjam membayar balik pinjaman mereka akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan dan dibawa ke Kabinet selepas dipersetujui.
Sementara itu, Mastura berkata, kedua-dua produk PTPTN iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus juga tidak akan berubah baik dari segi dasar mahupun fungsi.
Katanya, geran sepadan yang diumumkan pada Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu melibatkan pemberian RM500 kepada mereka yang mempunyai jumlah caruman SSPN sekurang-kurangnya RM500, juga dikekalkan.
“Setakat ini, Alhamdulillah (dikekalkan) sebab semua orang sedar untuk membuat simpanan SSPN. Jadi tiada sebarang perubahan dasar atau fungsi terhadap kedua-dua produk SSPN.
“Saya rasa rakyat Malaysia tidak perlu risau kerana kita semua sedia maklum bahawa antara ciri-ciri SSPN adalah simpanan yang dijamin oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










