KETUA Jurulatih Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim menegaskan tiada status pasukan pilihan pada final Piala Malaysia bertemu Perak di Stadium Shah Alam malam ini.
Terengganu menamatkan penantian selama tujuh tahun untuk menjejak kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir mereka tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di venue yang sama.
Skuad Penyu yang kali terakhir menjuarai trofi kejohanan tertua di Asia Tenggara itu pada 2001 diramal menjadi pasukan pilihan berbanding skuad kendalian Mehmet Durakovic.
Bagaimanapun, Irfan yang berasal dari Perak menegaskan, skuad The Bos Gaurus turut memiliki kelebihan tersendiri dan menganggap perlawanan final Piala Malaysia kali ini menjadi lebih unik dan epik.
“Bandingkan pasukan saya serta Perak, sama-sama setanding dan setara. Bagi saya final kali ini tiada siapa pasukan pilihan.
“Mereka sebelum ini telah berjaya menewaskan kami dan kami juga pernah menewaskan mereka. Jadi, saya fikir kedua-dua pasukan ini seimbang dari segi peluang.
“Cuma faktor pemisah perlawanan esok (malam ini) adalah kami harus kurangkan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang yang ada,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.
Dalam perkembangan sama, Irfan mengakui anak-anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan Perak yang menjadi pasukan ketiga paling berjaya dalam kempem Piala Malaysia sejak diadakan pada 1921.
Sebagai rekod, Selangor menjadi pasukan paling banyak menjuarai Piala Malaysia dengan 33 kali diikuti Singapura (24) dan Perak yang telah menjulang tujuh kali trofi tersebut.
“Persiapan seperti biasa, pemain sudah cukup bersedia, tiada masalah kecederaan.
“Sudah tentu motivasi pemain dalam keadaan terbaik, mereka hanya fokus untuk perlawanan akhir dan suasana dalam bilik persalinan begitu harmoni dan gembira.
“Apa yang pasti, mereka sudah bersedia untuk aksi final kali ini,” katanya.










