Tiada nama ahli politik untuk pingat Hari Wilayah tahun depan - Utusan Malaysia

Tiada nama ahli politik untuk pingat Hari Wilayah tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kementerian Wilayah tidak akan mengesyorkan sebarang nama dalam kalangan pemimpin politik sempena sambutan Hari Wilayah pada tahun hadapan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, sebaliknya pemberian pingat terhormat tersebut hanya akan diberikan kepada mana-mana individu yang layak dan mempunyai sumbangan yang setimpal untuk penghargaan itu.

“Saya mahu pengiktirafan ini diberikan kepada golongan pendidik, sukarelawan badan bukan kerajaan serta mereka yang mengharumkan nama di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh kartunis Zunar (Zulkiflee SM Anwarul Haque) yang telah memberi sumbangan besar melalui karyanya yang memberi kesedaran politik adalah antara individu yang perlu diberi pengiktirafan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ‘World Energy Cities Partnership’ (WECP) yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden WECP merangkap Datuk Bandar Halifax (Kanada), Mike Savage.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu lagi, pemberian darjah kebesaran kepada mana-mana pucuk pimpinan partinya daripada pihak istana juga tidak menjadi isu atau halangan.

Katanya, pemberian anugerah berdasarkan perkhidmatan mereka tidak menjadi isu melainkan tawaran tersebut dibuat secara melobi atau membelinya daripada pihak-pihak tertentu.

“Kita hanya mengingatkan bahawa anggota tidak boleh meminta untuk mendapatkan pingat-pingat ini tetapi sekiranya ditawarkan, kita serahkan kepada empunya diri untuk menerima atau menolak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN