JOHOR BAHRU 14 Okt. – Kerajaan tidak akan memberi lesen kepada sesiapa yang ingin menganjurkan pesta berkait arak termasuk Oktoberfest di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, penganjuran pesta sedemikian tidak dibenarkan, namun pihaknya tidak dapat menghalang individu daripada meminumnya.
Menurut beliau, jika individu bukan Islam minum di dalam kedai menjual arak, itu tidak boleh dihalang kerana memang di premis yang berlesen.
“Tapi untuk menganjurkan pesta perlu ada lesen dan kita tidak ada keluarkan sebarang lesen untuk penganjuran pesta sedemikian.
“Lagipun pesta itu bukanlah budaya masyarakat Malaysia, sama ada golongan Muslim mahupun bukan Islam,” katanya ditanya pendirian kerajaan negeri tentang penganjuran Oktoberfest yang hangat diperkatakan pelbagai pihak pada masa ini.
Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata demikian selepas merasmikan Karnival Hari Kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi, di sini hari ini.
Menurutnya, penganjuran Oktoberfest merupakan budaya masyarakat Jerman dan tidak perlu diamalkan di negara ini, khususnya di Johor.
“Perkara yang tidak baik, yang boleh mendatangkan mudarat tidak perlu kita contohi,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen berkenaan penganjuran pesta sedemikian sebelum ini.











