KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kurangnya laporan serta cakap-cakap mengenai anggota kerajaan Pakatan Harapan (PH) terlibat rasuah membuktikan pencapaian parti pemerintah itu membasmi budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, isu rasuah kini tidak lagi kerap dibangkitkan sebagaimana pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Dr. Mahathir merasakan keadaan itu boleh dikaitkan dengan keberkesanan kerajaan untuk membanteras rasuah dan memastikan rakyat menyedari mereka tidak boleh melakukan tindakan jenayah tersebut.
“Setakat ini, tidak dengar anggota kerajaan baharu terlibat dalam rasuah. Banyak tindakan dilakukan untuk memastikan rasuah dapat dikekang,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Antirasuah 2018 di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mendedahkan terdapat sebuah syarikat ingin memberi derma sebanyak RM100 juta kepada Tabung Harapan yang dilancarkan kerajaan, namun pemberian itu ditolak kerana ia boleh mendorong berlakunya rasuah memandangkan syarikat itu sedang menghadapi masalah tertentu.
Beliau yang enggan mendedahkan nama syarikat tersebut bagaimanapun menjelaskan penolakan itu adalah merupakan komitmen kerajaan untuk menghapuskan budaya yang menjurus kepada perilaku rasuah.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan PH turut memberi tumpuan satu untuk membawa mereka yang menyalahgunakan kuasa dalam kerajaan terdahulu ke muka pengadilan namun mengeaskan usaha tersebut mengambil masa bagi mengumpul bukti.
Katanya, usaha memperbaiki persepsi rasuah terhadap Malaysia demi meraih keyakinan rakyat serta pelabur asing sentiasa diteruskan.










