Sejak dianjurkan pada tahun 2001, program Toyota Eco Youth (TEY) meneruskan komitmen dalam memberikan pengiktirafan kepada pelajar yang menumpukan perhatian mereka terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar melalui projek-projek komuniti di seluruh negara.
Sehingga kini, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMW Toyota Sdn. Bhd. ini membabitkan 250 sekolah di seluruh negara dengan penglibatan 2,600 pelajar dan guru.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy berkata, TEY telah meraih reputasi sebagai satu daripada projek berterusan yang berkaitan alam sekitar paling konsisten dari Toyota Motor Corporation, Jepun.
“Banyak sekolah yang masih meneruskan projek-projek yang telah dimulakan antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Pulau Pinang dan SMK (Agama) Maahad Hamidiah, Kajang yang masing-masing ikut serta pada 2007, 2010 dan 2011.
“Malah, projek mereka menjadi contoh kepada sekolah lain,” katanya dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang program TEY 2018 di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum Dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling, Kedah diumumkan juara keseluruhan untuk menerima hadiah berjumlah RM10,000.
Naib juara menjadi milik SMK Seri Paka, Terengganu (RM7,000) dan ketiga ialah SMK Tun Fatimah Hashim, Johor (RM5,000).
Selain itu, SMK Paya Rumput, Melaka menang kategori Pembentangan Terbaik, SMK Tun Fatimah Hashim (Pameran Terbaik) dan SMK Baling (Laman Web Terbaik).
Dua guru SMK Baling, Ramzi Rahim dan Rosilawati Ab Raman pula meraih Anugerah Guru Terbaik.










